IKLANEKA

Isnin, 20 September 2010

Talqin – Raudhatuth Tholibin

Talqin – Raudhatuth Tholibin


Amalan membaca talqin setelah mayat dikebumikan adalah satu amalan yang diterima sebagai sunnat atau mustahab dalam mazhab Syafi’i. Dan amalan ini telah diamalkan oleh umat Islam di Nusantara ini sejak awal kemasukan Islam lagi, tanpa ada yang mempertikaikannya atau menolaknya. Maka kenapa kini amalan sebegini dijadikan sasaran untuk menghukum orang lain sebagai pelaku bid’ah yang tidak mengikuti sunnah? Jika pun tidak mahu bertalqin, maka sewajarnya berlapang dadalah kerana ianya termasuk dalam bab khilafiyyah pada furu’, di mana dalam mazhab Syafi’i ianya adalah sesuatu yang dihukumkan sebagai sunnat atau mustahab. Imam an-Nawawi rhm. menulis dalam kitab “Raudhatuth Tholibiin” seperti berikut:-
… Dan mustahab hukumnya mentalqinkan mayyit setelah dikebumi. Maka dikatakan: “Wahai hamba Allah anak hamba perempuan Allah, ingatlah dengan apa yang atasnya engkau keluar meninggalkan dunia, iaitu penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad pesuruh Allah. Sesungguhnya syurga itu benar, neraka itu benar, kebangkitan itu benar, hari kiamat pasti datang tanpa keraguan, dan Allah akan membangkitkan sesiapa sahaja dari kubur. Sesungguhnya engkau telah redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi, al-Quran sebagai panutan, ka’bah sebagai qiblat dan kaum mukminin sebagai saudara“. Telah warid dengannya hadits Junjungan Nabi s.a.w.
Selanjutnya Imam an-Nawawi meneruskan lagi:-
Inilah talqin yang dihukumkan mustahab oleh perhimpunan daripada sahabat kami (yakni para ulama asy-Syafi’iyyah), antara mereka adalah al-Qadhi Husain, Shohibut Tatimmah, Syaikh Nashr al-Maqdisi dalam kitabnya “at-Tahdzib” dan selain mereka. Qadhi Husain telah menukilkan bahawa secara mutlak di sisi ulama Syafi’i, membaca talqin ini adalah mustahab . Dan adapun hadits yang datang mengenai hukum talqin ini adalah dhoif, akan tetapi hadits-hadits (dhoif) berkaitan keutamaan (fadhoil) adalah tidak mengapa untuk diamalkan di sisi ahli ilmu daripada kalangan muhadditsin dan selain mereka. Dan telah diperkukuhkan hadits mengenai talqin ini dengan kesaksian beberapa hadits yang shohih, seperti hadits : “Mohonlah kepada Allah baginya (yakni bagi si mati) akan ketetapan (yakni ketetapan dalam menjawab fitnah kubur),” dan wasiat Sayyidina ‘Amr bin al-’Aash: “Berdirilah kamu di sisi kuburku (walaupun hanya) selama kadar menyembelih seekor sembelihan dan membahagi-bahagi dagingnya, sehingga aku dapat merasakan ketenangan dengan kalian dan aku mengetahui dengan apa akan aku kembalikan utusan-utusan Tuhanku (yakni Munkar dan Nakir)“, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam shohihnya. Sentiasalah penduduk Kota Syam beramal dengan amalan talqin ini sejak zaman permulaan Islam lagi, iaitu zaman di mana orang-orangnya dijadikan ikutan. Maka berkata para sahabat kami (yakni ulama Syafi’i): ” Dan duduklah orang yang membaca talqin itu di sisi kepala kuburan si mati, dan adapun anak kecil yang belum baligh dan seumpamanya, maka tidaklah ditalqinkan.”
Oleh itu, janganlah memandang remeh urusan talqin mayyit setelah dikubur. Ianya adalah amalan yang punya dalil dan asas dalam Mazhab Syafi’i. Bukan hanya kita di Malaysia yang bertalqin zaman berzaman, Imam an-Nawawi rahimahullah telah menyatakan bahawa umat Islam di Kota Syam turut mengamalkannya sejak dahulu lagi. Jauhilah sikap mempersenda-sendakan amalan orang lain, apatah lagi jika ianya yang punya dasar, dan diamalkan oleh para ulama dan awliya’. Negeri Sembilan Darul Khusus adalah negeri yang telah mewartakan fatwa berhubung talqin. Di mana dalam Warta Kerajaan Jil. 50 No. 19 bertarikh 11 September 1997 mewartakan fatwa berikut:-
1. Talqin hukumnya adalah sunat dan masa talqin itu ialah semasa ihtidar (hampir mati) dan atau selepas dikebumikan.
2. Semasa di dalam ihtidar (hampir mati) maka sunat diajarkannya mengucap kalimah syahadah iaitu La ilaha illallah dan bagi mayat yang telah dikebumikan maka dikata di sisi kuburnya, kata olehmu Tuhanku Allah, Agamaku Islam, Nabiku Muhammad S.A.W. hingga akhir talqin.
3. Mana-mana orang atau kumpulan orang adalah dilarang -
(a) membid’ahkan mana-mana orang lain yang membacakan talqin kepada mayat.
(b) memegang, mengamal atau mengajarkan bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.
(c) menyiar, menyebar, menghebahkan atau mendedahkan dengan apa-apa cara pun bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.
4. Mana-mana orang Islam adalah dilarang menjadi anggota, pemimpin atau penyokong mana-mana orang atau kumpulan orang yang dilarang di dalam perenggan 3.

KENDURI ARWAH BUKAN BID’AH DHALALAH BAHKAN SUNNAH NABI S.A.W

KENDURI ARWAH BUKAN BID’AH DHALALAH BAHKAN SUNNAH NABI S.A.W






Ketahuilah kamu bahawa kenduri arwah itu bermakna sadaqah dan berdo’a kepada orang-orang yang telah mati. Maka memang sampai kepada simati itu.Dalilnya firman Allah :


والذين جاءوا من بعدهم يقولون ربنا اغفر لنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين آمنوا ربنا إنك رؤوف رحيم

Ertinya : dan segala orang yang datang mereka itu kemudian dari mereka itu berkata mereka itu hai tuhan kami ..ampunilah kami oleh mu bagi kami dan bagi saudara-saudara kami yang mereka itu telah mendahului akan kami dengan iman.


Hadith: ان رجلا قال للنبي صعلم ان امي أقتلتت نفسها وأراها لو تكلمت تصدقت فهل لها من اجر ان تصدقت عنها قال نعم رواه البخاري ومسلم عن عائشة رضي الله عنها

Ertinya:bahawa seorang lelaki berkata ia bagi Nabi s.a.w bahawa ibuku dimatikan terkejut dirinya dan dilihatkan daku akandia jikalau berkata-kata niscaya bersedekah ia.Maka adakah baginya pahala(balasan) jika aku sedakah daripadanya ? Sabda Nabi s.a.w na’am (ia).


Hadith : اذا مات الأنسان انقطع عمله الا من ثلاث صدقة جارية او علم ينتفع به او ولد صالح يدعو له رواه مسلم عن ابي هريرة

Ertinya: apabila mati oleh maknusia muslim nescaya terputuslah amalannya melainkan daripada tiga perkara, sedakah jariyah , ilmu yang memberi menafa’at dengan dia , atau anak yang saleh yang mendo’a baginya.

(Kitab ini telah ditashih oleh 3 orang tokoh ulama tanah air 1-Sheikh Abdullah Fahim 2-Sheikh Haji Ahmad Tuan Husin Pokok Sena 3-Tuan Guru Haji Abd Rahman bin Haji Abdullah Merbuk Kedah )

Kenduri Arwah – Khilafiyyah Lapuk

Kenduri Arwah – Khilafiyyah Lapuk


Kenduri arwah yang biasa diamalkan oleh orang kita bagi ku adalah satu isu khilafiyyah. Maka sepatutnya ia tidak digunakan untuk memecah persatuan dan perpaduan umat. Elok dihabiskan masa kamu untuk menegah kemungkaran yang nyata di depan mata yang tidak ada sebesar habuk pun khilaf pada haramnya seperti budaya konsert hiburan berlebihan yang lumrah berlaku dalam masyarakat.
Kenapa kita sakit hati dengan orang bertahlil, berkenduri arwah, membaca yaasin di rumah dan di masjid. Tidakkah menjadi fatwa songsang, kita hukumkan orang baca yaasin malam jumaat sebagai masuk neraka ? Jika fatwa ini betul, maka neraka akan penuh dengan orang baca yaasin dan bertahlil. Ingat senang kamu nak bawa fatwa ini atas pundakmu. Sanggup kamu bawak?
Kalau kamu tidak suka membuat kenduri arwah, itu hak kamu. Aku yang suka buat, pun ada hak. Sewaktu ayahku meninggal, juga dibuat kenduri arwah 7 hari, bahkan berterusan sampai 30 hari kerana kebetulan ayahandaku meninggal pada 1 Ramadhan, maka keluargaku meneruskan kenduri sehingga hujung Ramadhan. Hal ini kami lakukan tanpa merasa susah dan dengan tujuan mendoakan yang telah pergi berharapkan cucuran rahmat Allah ke atasnya dan sekalian umat.
Oleh itu, tolonglah berhenti menghukum orang lain. Syurga dan neraka bukan milik kita untuk diberi kepada sesiapa yang kita kehendaki. Syurga – Neraka kepunyaan Allah, oleh itu kita mohon kepadaNya akan syurga dan minta perlindungan dari neraka.
Aku di sini hanya ingin menunjukkan beberapa hujjah pegangan orang yang berkenduri arwah. Bukan untuk membatalkan hujjah orang yang menentangnya. Aku sekadar mahu mengatakan kepada kamu, jika kamu punya hujjah, kami juga punya hujjah. Ya sudah, biarkan kami beramal dengan keyakinan kami seperti kami membiarkan kamu beramal dengan hujjah kamu.

KHENDURI ARWAH DAN TAHLIL

KHENDURI ARWAH DAN TAHLIL



Persoalan Tentang Kenduri Arwah
Komen penulis tentang amalan kenduri arwah sebagai sesuatu yang bid’ah berdasarkan dakwaannya yang bersumberkan daripada Sharh al-Muhazzab oleh Imam Nawawi. Terjemahan beliau berbunyi begini: “Adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan dari Nabi s.a.w. sedikitpun. Ia adalah bi’dah yang tidak disukai.”
Ulasan:
Mari lihat teks asal yang sepenuhnya ditulis oleh Imam Syairazi dalam al-Muhazzab dan syarahnya dalam al-Majmu’ oleh Imam Nawawi.
قال المصنف رحمه الله تعالى:
ويستحب لأقرباء الميت وجيرانه أن يصلحوا لأهل الميت طعاما لما روي أنه: ((لما قتل جعفر بن أبي طالب رضي الله عنه قال النبي صلى الله عليه وسلم: اصنعوا لآل جعفر طعاما، فإنه قد جاءه أمر يشغلهم عنه)).
Maksudnya:
“Dan disunatkan bagi kerabat si mati dan jirannya untuk melakukan kebaikan kepada ahli keluarga si mati dengan menyediakan makanan sebagaimana yang diriwayatkan: ((Bahawasanya ketika terbunuh Ja’far Bin Abi Thalib, Nabi s.a.w. bersabda: “Buatlah bagi keluarga Ja’far it makanan, maka sesungguhnya telah datang kepada mereka suatu perkara yang menyibukkan mereka)).
Dinyatakan di dalam Syarh al-Muhazzab:
واتفقت نصوص الشافعي في الأم والمختصر والأصحاب على أنه يستحب لأقرباء الميت وجيرانه أن يعملوا طعاما لأهل الميت…
Maksudnya:
Telah sepakat nas-nas Imam Syafi’e di dalam al-Umm, Mukhtasar dan Ashab bahawa sunat bagi kaum kerabat si mati dan jirannya untuk menyediakan makanan bagi ahli si mati..”
Dan di dalam al-Majmu’ juga terdapat sepertimana yang ditulis oleh mereka yang berbunyi begini:
وأما إصلاح أهل الميت طعاما وجمع الناس عليه فلم ينقل فيه شيء، وهو بدعة غير مستحبة.
Maksudnya: Dan adapun menyediakan makanan oleh ahli si mati dan menghimpunkan orang ramai adalah tidak diriwayatkan dari Nabi s.a.w. sedikitpun, ia adalah bid’ah yang tidak mustahabbah (disunatkan).
Jawapan kami:
Dalam pernyataan di atas, bid’ah yang tidak disunatkan itu ialah amalan mengumpul orang ramai dan memberi makan kepada mereka. Sememangnya ini perkara yang menyusahkan keluarga si mati.
Adapun perkumpulan orang ramai untuk membaca tahlil, takbir, tasbih dan ayat-ayat al-Quran untuk dihadiahkan kepada si mati tidak disebut pengharamannya. Bahkan perkumpulan untuk berzikir dan membaca al-Quran adalah satu perkara yang sangat dianjurkan dan disokong oleh dalil-dalil umum yang lain.
Pemberian makanan (bukan dari harta warisan si mati) oleh keluarga si mati kepada orang ramai dengan niat bersedekah (dan pahalanya disedekahkan kepada si mati) juga disokong oleh dalil-dalil yang lain.
Maka jelaslah, maksud perkumpulan yang tidak disukai itu adalah dengan tujuan mengumpulkan orang ramai bagi menzahirkan ratapan kepada si mati. Ini dapat dilihat dengan jelas dari ayat yang seterusnya oleh Imam Nawawi di dalam Syarh al-Majmu’ yang berbunyi:
ويستدل بهذا بحديث جرير بن عبد الله رضي الله عنه قال ((كنا نعد الاجتماع إلى أهل الميت وصنيعة الطعام بعد دفنه من النياحة)) رواه أحمد بن حنبل وابن ماجه بإسناد صحيح.
Dalam praktis hari ini, sememangnya anjuran Rasulullah s.a.w. ini dilakukan oleh pihak kerabat dan jiran-jiran dalam bentuk yang berlainan seperti sumbangan kewangan dan penyediaan makanan secara kerjasama di rumah ahli si mati.
Hakikatnya banyak perkara yang berubah dengan perkembangan cara hidup umat Islam, sebagai contoh, para ulama’ terdahulu tidak dibayar upah mereka oleh pihak kerajaan, namun pada hari ini, pendapatan para ustaz kita disediakan oleh pihak kerajaan. Adakah itu sesuatu yang salah? Bukankah di sana ada satu kaedah usuliyyah yang mengakui ‘perubahan hukum dengan perubahan masa dan tempat’ (تغير الأحكام بتغير الأزمان).
Walaubagaimanapun, bagi mereka yang mengamalkan amalan ini, ada di sana dalil-dalil yang mengharuskan amalan ini. Di antaranya:
1. Ahmad Ibn Muni’ mengeluarkan di dalam Musnadnya daripada al-Ahnaf Bin Qais, berkata: Apabila Sayyidina Umar r.a. telah ditikam beliau memerintahkan Suhaib untuk mengerjakan sembahyang dengan orang ramai selama tiga hari dan beliau meyuruh agar disediakan kepada orang ramai makanan. Isnadnya adalah baik. (Kitab al-Mathalib al-‘Aliyah oleh Ibnu Hajar al-Asqalani Juzu’:1 Ms: 199 No. Hadis: 709).
2. Imam Ahmad mengeluarkan dalam Bab Zuhud daripada Thawus, berkata: (Sesungguhnya orang yang mati itu diuji di dalam kubur selama tujuh hari dan mereka menyukai sekiranya diberikan makanan bagi pihak mereka pada hari-hari tersebut). Isnadnya adalah kuat. (Kitab al-Mathalib al-‘Aliyah oleh Ibnu Hajar al-Asqalani Juzu’:1 Ms: 199 No. Hadis: 710).
http://al-subki.blogspot.com/