IKLANEKA

Isnin, 20 September 2010

Kenduri Arwah – Khilafiyyah Lapuk

Kenduri Arwah – Khilafiyyah Lapuk


Kenduri arwah yang biasa diamalkan oleh orang kita bagi ku adalah satu isu khilafiyyah. Maka sepatutnya ia tidak digunakan untuk memecah persatuan dan perpaduan umat. Elok dihabiskan masa kamu untuk menegah kemungkaran yang nyata di depan mata yang tidak ada sebesar habuk pun khilaf pada haramnya seperti budaya konsert hiburan berlebihan yang lumrah berlaku dalam masyarakat.
Kenapa kita sakit hati dengan orang bertahlil, berkenduri arwah, membaca yaasin di rumah dan di masjid. Tidakkah menjadi fatwa songsang, kita hukumkan orang baca yaasin malam jumaat sebagai masuk neraka ? Jika fatwa ini betul, maka neraka akan penuh dengan orang baca yaasin dan bertahlil. Ingat senang kamu nak bawa fatwa ini atas pundakmu. Sanggup kamu bawak?
Kalau kamu tidak suka membuat kenduri arwah, itu hak kamu. Aku yang suka buat, pun ada hak. Sewaktu ayahku meninggal, juga dibuat kenduri arwah 7 hari, bahkan berterusan sampai 30 hari kerana kebetulan ayahandaku meninggal pada 1 Ramadhan, maka keluargaku meneruskan kenduri sehingga hujung Ramadhan. Hal ini kami lakukan tanpa merasa susah dan dengan tujuan mendoakan yang telah pergi berharapkan cucuran rahmat Allah ke atasnya dan sekalian umat.
Oleh itu, tolonglah berhenti menghukum orang lain. Syurga dan neraka bukan milik kita untuk diberi kepada sesiapa yang kita kehendaki. Syurga – Neraka kepunyaan Allah, oleh itu kita mohon kepadaNya akan syurga dan minta perlindungan dari neraka.
Aku di sini hanya ingin menunjukkan beberapa hujjah pegangan orang yang berkenduri arwah. Bukan untuk membatalkan hujjah orang yang menentangnya. Aku sekadar mahu mengatakan kepada kamu, jika kamu punya hujjah, kami juga punya hujjah. Ya sudah, biarkan kami beramal dengan keyakinan kami seperti kami membiarkan kamu beramal dengan hujjah kamu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan